PUTRAJAYA 8 Feb. – Setakat semalam, 7 Februari, seramai 2.76 juta rakyat negara ini sudah membuat kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) sejak dilancarkan 2 Januari lalu
Daripada jumlah itu, Selangor mendahului dengan 0.42 juta.
.Semalam, Ketua Perangkawan, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata! sistem PADU mempunyai 30 juta nama penduduk dan perlu membuat pengesahan dan kemas kini maklumat masing-masing sehingga 31 Mac ini.
“Kita ada rekod dalam pelbagai tempat, rakyat hanya perlu kemas kini maklumat seperti status perkahwinan, pekerjaan supaya kita dapat data yang tepat.
Kita juga tubuh pasukan khas bagi membantu warga emas, orang asli, penduduk di pedalaman serta penghuni rumah orang-orang tua untuk membuat kemas kini maklumat masing-masing,” katanya di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai, Bachok.
Beliau berkata, sebanyak 911 PEDI seluruh negara turut menyediakan perkhidmatan membantu penduduk membuat kemas kini dalam sistem PADU.
Katanya, kerjasama turut dibuat bersama agensi kerajaan dan negeri, 28 ibu pejabat DOSM dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau juga berkata, rakyat juga sudah mula menyakini sistem PADU berbanding awal pelaksanaan di mana rakyat mempersoal beberapa isu seperti kawalan data peribadi dan manfaat sistem ini.
“Kita sudah mengatasi kerisauan rakyat dan menggalakkan individu yang mahir dengan komputer dan internet, membuat kemas kini PADU melalui peranti peribadi secara kendiri,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pusat khidmat panggilan PADU dibuka sehingga jam 10.00 malam untuk bantuan di talian 1800-88-7720.
