Terpulang kepada Surendran tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Bekas Naib Presiden PKR, N Surendran berhak membuat keputusan meninggalkan parti itu, memandangkan beliau juga sudah tidak aktif dalam parti, kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.

“Itu adalah keputusan beliau, saya berpandangan itu adalah haknya. Terpulang kepada beliau. Beliau pun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak terlibat, tidak aktif. Jadi, mungkin rasa sesuai untuk beliau guna platform lain.

“Itu hak beliau, saya hormati keputusan beliau,” katanya yang juga Menteri Komunikasi ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus dan Jalinan Mesra bersama pengusaha-pengusaha pawagam, di sini malam tadi.

Semalam, Surendran mengumumkan keluar PKR atas alasan kecewa dengan parti dan mendakwa parti itu tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan seperti dijanjikan.

Sebelum itu, Fahmi mengingatkan bekas Ahli Parlimen Padang Serai itu supaya mematuhi disiplin parti selepas peguam berkenaan mempersoalkan agenda reformasi dalam PKR.

Tindakan Surendran dimaklumkan melalui ciapan di platform X sebagai respon kepada kenyataan Fahmi Fadzil selaku Pengarah Komunikasi parti itu, yang mengingatkan beliau mengenai disiplin parti dalam menyuarakan ketidakpuasan hati.

“Fahmi, tidak kisahlah disiplin parti. Saya pun sudah lama tidak menjadi ahli parti yang aktif. Saya bertanya mengenai pembaharuan PKR yang pernah dijanjikan. Tiada jawapan yang baik untuk (pertanyaan) itu.

Tiada guna untuk menjadi ahli kepada sebuah parti yang tidak lagi mewakili perubahan dan pembaharuan. Anggap ini sebagai peletakan jawatan saya,” katanya.

Surendran pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Padang Serai antara 2013 hingga 2018 mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerana berdiam diri dalam siasatan atas dakwaan menghasut terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua.

Pua disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung catatan di Facebook yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri,  Najib Razak.

“Siasatan hasutan ke atas Pua, namun Harapan, DAP kebanyakannya senyap. Agak memalukan. Betapa dalamnya kawan-kawan lama saya telah karam,” kata Surendran mengulas perkembangan itu.

Related posts

Leave a Comment