PUTRAJAYA 5 Feb. – Semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan Najib Razak, perlu dihentikan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.
Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Anwar juga menjelaskan, antara asas Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib adalah atas sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara.
Perdana Menteri berkata, perkara itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan, termasuk kaedah lain yang diperincikan.
“Pertama apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.
“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.
