Menteri direman akibat ubat palsu

COLOMBO: Bekas Menteri Kesihatan, Sri Lanka Keheliya Rambukwella ditahan reman sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan terhadap penipuan 144 juta rupee (RM2.1 juta) membabitkan ubat yang sepatutnya menyelamatkan nyawa.

Polis memberitahu Mahkamah Sri Lanka, kementerian itu berhasrat untuk membeli stok antibodi imunoglobulin, yang digunakan pada pesakit yang lemah imun tetapi apa yang dibayar kementerian ternyata hanya untuk ubat palsu.

Jabatan Siasatan Jenayah juga menyoal Rambukwella, yang kini Menteri Alam Sekitar dan membawanya ke Mahkamah Majistret Maligakanda Colombo, yang mana hakim memerintahkan penahanannya.

Beberapa pegawai penting Kementerian Kesihatan lain juga sudah pun ditangkap.

Pembekal ubat iaitu sebuah syarikat tempatan dibayar sehingga 960 juta rupee (AS$3.1 juta, RM14.6 juta) tetapi pembayaran dihentikan selepas kebimbangan kualiti timbul pada September lalu. Pemilik syarikat itu turut ditahan.

Sri Lanka berdepan dengan isu kekurangan ubat-ubatan yang teruk selepas negara itu gagal membayar hutang asing AS$46 bilion (RM217 bilion) pada April 2022 selepas disytiharkan muflis.

Kebanyakan ubat-ubatan penting kemudiannya dibiayai melalui saluran kredit dari negara jiran India, serta Bank Dunia.

Related posts

Leave a Comment