Lagi kanak-kanak maut dalam kereta

SHAH ALAM 1 Feb. – Kes kanak-kanak maut selepas ditinggalkan di dalam kereta berulang lagi.

Kali ini melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas ditinggalkan di dalam kereta hampir empat jam oleh ibunya di tempat letak kereta belakang Hospital Shah Alam (HSA), kelmarin.

Mangsa dikatakan ditinggalkan ibu yang juga kakitangan hospital itu selepas diambil daripada taska berhampiran.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu daripada seorang pegawai perubatan hospital terbabit pada pukul 8.01 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta jenis Perodua Axia selepas mangsa diambil dari sebuah TASKA berdekatan tempat kejadian sekitar pukul 2 petang.

“Ketika ditinggalkan, mangsa dikatakan berada dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu mangsa berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital itu dipercayai hanya menyedari insiden terbabit selepas dihubungi suaminya pada pukul 6 petang.

Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Shah Alam, dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat sudah dijalankan petang semalam dengan keputusan ‘pending laboratory investigations’.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas mangsa juga mendapati tidak ada sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman pada kanak-kanak itu.

Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati ketika mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau TASKA, terutama yang masih kecil supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

“Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini, boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid melalui talian 013-6544996,” katanya.

Terdahulu, pada awal November tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan maut akibat tertinggal lebih tujuh jam dalam kereta di kawasan perumahan Ara Damansara dekat Petaling Jaya.

Menurut laporan polis, sebelum itu ibu mangsa mendakwa anaknya yang berumur dua tahun itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

Siasatan dijalankan mendapati kira-kira pukul 7 pagi, wanita terbabit membawa dua anaknya bersama mangsa untuk dihantar ke sekolah berhampiran sebelum menuju ke sebuah tadika untuk menghantar mangsa.

“PBagaimanapun ketika wanita terbabit tiba di tadika, dia kemudiannya berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa untuk menurunkan mangsa.

Wanita terbabit kemudiannya terus bergerak pulang ke rumahnya tanpa menyedari mangsa berada dalam kenderaan yang dipandunya hanya menyedari mangsa berada dalam kereta kira-kira pukul 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Related posts

Leave a Comment