POKOK SENA 25 Jan. – Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Muhammad Sanusi Md Nor, menasihatkan , wakil rakyat PN sentiasa bersedia untuk berkhidmat dalam situasi serba kekurangan terutama sebagai pembangkang.
Beliau menyifatkan tindakan ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim, adalah disebabkan tekanan dialami apabila mereka tiada peruntukan kewangan yang mencukupi untuk ‘menjaga’ kawasan masing-masing.
“Saya rasa itu pun sejenis tekanan. Dia (Kerajaan Pusat) membiarkan (wakil rakyat) itu kelaparan dan dibiarkan (tanpa peruntukan kepada Ahli Parlimen) kerana tekanan berlaku di kawasan tadbirannya, orang tuntut macam-macam tapi dia tidak ada kemampuan.
“Jadi sampai dia letih, dia terpaksalah (sokong Perdana Menteri). Saya harap itu yang terakhirlah. Orang pun tak lah gila semua atas dunia ni dah jadi wakil rakyat tak ada bajet, jadi tekanan kat dia, lama-lama dia pun akan panas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Buku Pokok Sena 2024 di Dewan Serbaguna daerah itu di sini, hari ini.
Semalam Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanafi, menjadi wakil keenam Bersatu mengumumkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri selepas lima wakil lain berbuat demikian sebelum ini.
Sanusi berharap tiada lagi ahli Parlimen daripada Bersatu yang membuat pengumuman menyokong kepemimpinan Anwar dan mereka perlu bersedia untuk susah, siap untuk derita.
Lima wakil rakyat Bersatu yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman.
