BATU PAHAT 23 Jan. – Misteri kehilangan ibu tunggal terjawab apabila polis mengesahkan rangka yang ditemukan dalam rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dekat sini adalah Mila Sharmila Samsusah atau Bella.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata ujian asid deoksiribonukleik (DNA) rangka itu sepadan dengan sampel daripada ibu dan kakak kepada Bella.
Ismail berkata, polis sudah menghubungi keluarga mangsa untuk menuntut jenazah di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
“Analisis DNA yang dihantar ke Jabatan Kimia pada 21 Januari lalu diterima polis hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Ujian DNA dijalankan pada Sabtu lalu dengan polis mengambil sampel tisu daripada Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 55, bagi menentukan rangka ditemui dalam rumah terbiar ialah Bella.
Sejak hari pertama penemuan rangka itu, Norhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ayu serta ahli keluarganya cuba menenangkan keadaan dengan mengharapkan ia bukan adik bongsunya
Bella seorang ibu tunggal yang dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu meninggalkan dua anak Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2.
Tiga suspek sudah direman dengan seorang daripada mereka akan dituduh di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok.
Sementara itu, Norhisham atau Ayu menerima berita mendukacitakan itu sekitar 6.20 petang selepas dihubungi pihak polis yang memaklumkan keputusan DNA terbabit.
“Selamat tinggal Bella, aku sayang sangat pada kau Bella. Aku akan tuntut keadilan atas pemergian kau ini”.
“Sepatutnya kita masih bersama-sama kan. Kehilangan paling berat. Dukacita saya maklumkan ujian DNA mengesahkan rangka itu milik Bella. Berat dugaan kami sekeluarga.
Esok jenazah akan dituntut di Hospital Sultan Ismail sebelah pagi dan dibawa pulang ke Batu Pahat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya.
“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Dato Bentara. Mohon semua kenalan, rakan, sahabat dan semua warga Batu Pahat datang untuk solatkan Bella kali terakhir,” katanya di Facebook.
Menurut Ayu lagi, dia berterima kasih atas doa dan usaha semua pihak sehingga terjumpanya adik kesayangan walaupun dalam keadaan tidak sempurna.
