Liga Arab mesyuarat Isnin di Kaherah

ISTANBUL: Liga Arab dijadual mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat perwakilan tetap, Isnin ini bagi membincangkan perkembangan situasi perang di Gaza.

Wakil Tetap Palestin di Liga Arab, Mohannad Aklouk, berkata sesi luar biasa itu akan diadakan di ibu pejabatnya, di Kaherah.

“Permintaan bagi penganjuran mesyuarat itu dibuat oleh Palestin dan disokong banyak negara Arab.

“Selain membincangkan mengenai perang ke atas Gaza, sesi itu juga akan menyentuh mengenai jenayah Israel di seluruh Tebing Barat yang diduduki termasuk tindakan rejim terbabit merobohkan infrastruktur di kem pelarian Palestin,” katanya.

Pada masa sama, Mohannad berkata, pihaknya berharap pertemuan itu berupaya menghasilkan tindakan politik, undang-undang, diplomatik dan ekonomi oleh Liga Negara Arab serta negara anggotanya dalam berdepan jenayah Israel.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 24,762 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza dengan kebanyakannya membabitkan mangsa wanita dan kanak-kanak, selain 62,108 lagi cedera, dalam peperangan sejak 7 Oktober lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan serangan Israel menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah terkepung itu turut musnah.

Related posts

Leave a Comment