PKR gantung semua jawatan parti Fahmi Zainol

KUALA LUMPUR 1 Mac  – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol, digantung serta-merta daripada semua jawatan PKR sehingga kes mahkamahnya selesai, kata Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh.

Dalam satu kenyataan, Fuziah berkata, mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini membincangkan kedudukan Fahmi yang didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya akan menghantar surat kepada Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lalu Fahmi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan memukul isterinya dalam kejadian  22 Februari lepas.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting dan kes akan disebut semula 28 April depan bagi serahan dokumen.

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli.

“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” katanya.

Dalam kenyataannya, Fuziah juga memaklumkan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC),  Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim Araby antara 14,225 anggota baharu menyertai PKR bagi tempoh Oktober 2025 hingga Januari tahun ini.

Turut menyertai parti itu ialah Pengurus Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Hidayat Abdullah.

“Sementara itu, MPP turut memutuskan pelantikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, sebagai ahli ex officio MPP, dan Muhd Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Haris sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama parti,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment