KOTA BELUD 8 Jan. – Tiada pergolakan politik berlaku di Sabah,” demikian penegasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menjelaskan keberadaannya di Sabah adalah bagi menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di sini hari ini.
“Saya tolak dakwaan terdapat kemelut politik di Sabah… kita bertemu bersiap siaga, khususnya PRN Sabah walaupun berlaku selewat-lewatnya (tamat tempoh penggal) akhir tahun depan, tidak salah kita bersiap-siaga mulai sekarang.
“Jangan ada mana-mana pihak pula buat analisis atau apa-apa spekulasi sesuatu sedang berlaku di Sabah ini. Kita tumpu kerja kita dulu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian.
Beliau yang juga Presiden UMNO juga menjelaskan pertemuan dengan pemimpin politik dan rakan pemimpin lain di negeri ini malam tadi adalah bertujuan mengemaskini kerja-kerja terutamanya melibatkan penyusunan jentera BN dan UMNO dalam mendepani PRN Sabah nanti.
Mengenai rakan kerjasama BN dan UMNO pada PRN Sabah, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bubar.
Katanya, UMNO sedia berkolaborasi dengan mana-mana parti asalkan mampu bermuafakat dalam menjaga kesejahteraan rakyat Sabah dan negara ini secara keseluruhannya.
“Kita punya pendirian politik ini pragmatik dan jalinan kerjasama (pada PRN Sabah) boleh dilakukan dengan mana-mana parti politik, yang penting kerajaan ditubuhkan mendapat dukungan majoriti rakyat,” katanya.
Pada masa yang sama, kepentingan utama adalah untuk mengukuhkan kerajaan Perpaduan, sama ada di peringkat nasional atau negeri.
Dalam mendepani PRN Sabah juga, BN dan UMNO Sabah mempunyai autonomi sendiri untuk memutuskan perkara-perkara, antaranya calon mewakili parti serta calon yang disokong sebagai Ketua Menteri.
Sebelum ini terdapat laporan, UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) bakal mewujudkan kerjasama untuk menghadapi PRN17.
Gambaran kerjasama itu semakin jelas apabila Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin hadir memenuhi undangan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan Disember lalu.
Nnn
