Serangan Israel bunuh Timbalan Ketua Hamas

BEIRUT: Timbalan ketua Hamas, Saleh al-Aruri terbunuh bersama pengawal peribadinya selepas Israel menyerang pejuang Palestin di Lubnan, semalam, dengan dron, kata kumpulan dan pegawai keselamatan di Lubnan.

Israel, sebelum ini berikrar untuk memusnahkan Hamas selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel.

Ketika perang, Israel mengumumkan pembunuhan komander dan pegawai Hamas di Gaza, tetapi al-Aruri adalah tokoh paling berprofil tinggi untuk dibunuh, dan kematiannya berlaku dalam serangan pertama ke atas ibu negara Lubnan, sejak perang bermula.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari tidak secara langsung mengulas mengenai pembunuhan A-Aruri tetapi berkata, tentera “sangat bersedia untuk sebarang senario” selepasnya.

Pegawai keselamatan kedua di Lubnan mengesahkan maklumat mengenai pembunuhan Al-Aruri itu.

TV Hamas berkata, Israel telah membunuh Al-Aruri di Lubnan, dan media Lubnan berkata seramai tujuh orang terbunuh dalam serangan oleh dron Israel.

Serangan itu menambah kebimbangan serantau yang meluas bahawa perang Israel-Hamas yang berterusan hampir tiga bulan boleh menjadi tragedi yang lebih meluas.

Hamas berkata, pembunuhan itu tidak akan membawa kepada kekalahannya, manakala Hizbullah berikrar kematian Al-Aruri tidak akan “tidak dihukum.”

Hizbullah menyebutnya “serangan serius ke atas Lubnan… dan perkembangan berbahaya semasa perang.”

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengecam pembunuhan itu dan berkata ia “bertujuan untuk menarik Lubnan” lebih jauh ke dalam perang Hamas-Israel.

Sementara itu di WASHINGTON: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres,, menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan yang akan meningkatkan konflik berikutan pembunuhan Saleh Arouri.

“Setiausaha Agung menggesa semua pihak menghentikan sebarang tindakan dan mengambil langkah segera meredakan ketegangan di rantau itu,” kata jurucakap PBB, Florencia Soto Nino pada sidang media.

PBB merayu semua anggota masyarakat antarabangsa untuk melakukan segala yang terdaya bagi mencegah peningkatan konflik, kata Nino.

“Kami tidak mahu sebarang tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan keganasan selanjutnya,” katanya.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah yang sebelum ini menegaskan tindak balas tertinggi akan dilakukan sekiranya Israel melakukan pembunuhan di tanah Lubnan.

Related posts

Leave a Comment