Tiada sambutan Ambang Tahun Baharu

SHAH ALAM 30 Dis. – Kerajaan Persekutuan tidak membuat sebarang perancangan untuk mengadakan sambutan Ambang Tahun Baharu 2024, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata ia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang sedang ditindas kejam oleh rejim zionis Israel dan menghormati mangsa banjir di beberapa negeri.

“Di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan mungkin diadakan program sambutan yang bersesuaian dengan keadaan setempat,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) di sini malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan menganjurkan Program Kerohanian Ambang Tahun Baharu 2024 pada Ahad ini di Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya sebagai alternatif untuk masyarakat Islam Malaysia yang lazim menyambut Tahun Baharu Masihi.

Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, berkata pelbagai aktiviti kerohanian bakal diadakan di masjid terbabit sempena program itu, termasuk bacaan Surah Yasin, majlis zikir dan doa selamat di Masjid Negara.

Di Masjid Putra, selain bacaan Yasin, zikir serta doa selamat, ceramah khas ambang tahun baharu akan turut disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Prof Madya  Dr Luqman Abdullah, dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh naib johan qari Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2022, Ustaz Aiman Ridhuan.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan menampilkan program khas Ambang Gema Syukur dengan pengisian Kuliah Maghrib Khas, sesi Tadabbur Surah Al-Mulk dan refleksi. Aktiviti gerai jualan juga diadakan di mana sebahagian hasil jualan berkenaan bakal disumbangkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Palestin.

Related posts

Leave a Comment