Jumlah mangsa banjir di PPS turun

PUTRAJAYA 30 Dis. – Jumlah mangsa banjir di empat negeri yang berlindung di 70 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 malam tadi menunjukkan penurunan kepada 16,919 orang berbanding 20,036 orang di 82 PPS pada sebelah petang.

Berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), mangsa banjir di Pahang yang berlindung di enam PPS di daerah Bera, Maran dan Temerloh berkurangan kepada 120 berbanding 214.

Selain itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS yang dibuka ekoran kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands kekal 87 orang daripada 17 keluarga.

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas banjir namun mencatatkan perkembangan positif dengan mangsa yang ditempatkan di 42 PPS di empat daerah kurang kepada 15,882 orang berbanding 17,950 orang di 46 PPS petang semalam.

Daerah yang terjejas di Negeri Cik Siti Wan Kembang ialah Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.

Di Terengganu,  jumlah mangsa yang berlindung di 20 PPS di daerah Dungun, Kuala Terengganu dan Marang terus berkurangan kepada 862 orang berbanding 1,817 orang di 24 PPS petang semalam.

Jumlah mangsa banjir yang berlindung di dua PPS di Segamat, Johor malam tadi kekal 55 orang daripada 15 keluarga.

Sementara itu tinjauan status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan Sungai Kelantan di Kota Bharu, Jeli dan Gua Musang serta Sungai Golok di Tanah Merah dan Pasir Mas berada pada paras bahaya.

Turut berdepan situasi sama ialah Sungai Perak, Sungai Arau dan Sungai Dungun.

 

(Foto Masjid Mukim Bendang Pok Yong Tumpat pada Jumaat)

Related posts

Leave a Comment