GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sistem kesihatan di Gaza kini telah musnah dan menyifatkannya sebagai tragedi.
Sambil mengulangi desakan supaya gencatan senjata dilaksanakan segera, beliau memuji petugas perubatan yang terus cekal mencurahkan khidmat walaupun berdepan keadaan semakin teruk.
“Meskipun menghadapi ancaman keselamatan yang berterusan dan bertali arus pesakit cedera dibawa untuk rawatan, kami melihat doktor, jururawat, pemandu ambulans serta lain-lain lagi tetap berusaha tanpa henti untuk menyelamatkan nyawa,” katanya dalam hantaran melalui X, semalam.
WHO, agensi kesihatan bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah berkali-kali menyuarakan kebimbangan akan keadaan penjagaan kesihatan di Gaza sejak perang paling berdarah di Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
Walaupun hospital adalah dilindungi bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, fasiliti kesihatan itu di Gaza berulang kali mengalami serangan tentera rejim Zionis.
Setakat 20 Disember lalu, WHO merekodkan 246 serangan ke atas penjagaan kesihatan di Gaza, termasuk hospital serta ambulans, mengakibatkan 582 kematian dan 748 mangsa cedera.
