“Menjelang PRU16 Presiden Amanah bukan lagi Bang Mat”

KLANG 24 Dis. – Mohamad Sabu yang dilantik semula untuk memimpin Amanah bagi penggal terakhir berjanji akan melaksanakan amanah yang diberi sebaik mungkin sehingga pemilihan pada tahun 2026.

Sambil mengakui kelemahan yang ada, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu akan terus memimpin bersama rakan-rakan sehingga konvensyen terakhir baginya sebagai Presiden Amanah.

“Pada 2026 adalah konvensyen saya yang terakhir sebagai presiden parti, PRU kalau genap (lima tahun) pada 2028, menjelang PRU ke-16, pimpinan baharu akan muncul memimpin Amanah.

“Kita tak mahu menangguhkan konvensyen (pemilihan akan datang) kepada 18 bulan. Kita buat (pemilihan selepas ini) ikut jadual, PRU empat tahun lagi bukan lama, kita kena buat persediaan. Pada waktu itu, presiden kita orang lain bukan Bang Mat lagi,” katanya.

Mohamad dalam ucapan selepas pengumuman ‘Top 5’ petang ini berkata, ini bukan kali pertama beliau tidak menjadi pilihan nombor satu dalam jumlah undi yang diterjemahkan perwakilan ketika memilih 27 orang ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional.

Katanya pada pemilihan sebelum ini, beliau berada di tangga ketujuh tetapi hasil mesyuarat bersama, beliau diangkat sebagai Presiden berdasarkan kelemahan dan kekuatan yang ada pada dirinya.

Beliau berkata, walaupun beliau bukan pemimpin popular yang diangkat untuk menerajui parti, namun amanah yang diberi kepadanya akan dilaksana sebaik mungkin.

“Saya tidak jadi pilihan nombor satu, sebaliknya nombor lapan. Semasa mesyuarat tadi, ada yang menegur kelemahan saya.

Saya dan (Datuk Seri Dr) Mujahid (Yusof) tak cakap apa dan mereka buat keputusan seperti diumumkan tadi. Saya tahu dengan segala kelemahan ini, saya akan memimpin bersama rakan-rakan,” katanya.

Mohamad memperoleh 613 undi manakala Mujahid dimtangga keempat dengan 699 undi. Undi tertinggi diperoleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad diikuti bekas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Mohamad sebelum mengakhiri ucapannya menggesa pemimpin Amanah mempertahan kerjasama yang terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

“Amanah kekuatannya bergantung kepada ‘coalation’ (pakatan) hubungan kita dengan PKR, DAP dan sekarang dengan BN (Barisan Nasional) serta parti dari Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, pimpinan yang akan mewarisi parti pada PRU akan datang mesti cari jalan untuk kuatkan ‘coalation’ ini sebab sebarang keretakan, yang paling membawa padah adalah kepada Amanah sendiri,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment