Mat Sabu kekal Presiden Amanah

KLANG 24 Dis. –  Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Amanah untuk penggal ketiga, penggal terakhir mengikut perlembagaan parti manakala bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof sebagai Timbalan Presiden.

Keputusan tersebut dibuat dalam satu mesyuarat khas dalam kalangan 27 ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah yang dipilih petang ini.

Jawatan Timbalan Presiden sebelum ini disandang oleh Allahyarham Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu manakala Mujahid, sebelum ini adalah salah seorang Naib Presiden parti.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula dilantik sebagai Naib Presiden manakala Dr Siti Mariah Mahmud dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari pula kekal sebagai Naib Presiden.

Jawatan Naib Presiden sebelum ini turut disandang Mahfuz Omar yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena dan bekas Ahli Parlimen Hulu Langat Hasanuddin Mohd Yunus yang kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mahfuz yang tidak dapat hadir pada pemilihan kali ini kerana menunaikan umrah memperoleh 694 undi manakala Hasanuddin berada di kedudukan 64 dengan 141 undi

Pada pemilihan petang ini, Dr Dzulkefly mendapat undi tertinggi dalam kalangan 27 jawatankuasa diikuti bekas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menduduki tempat kedua diikuti Ahli Parlimen Shah Alam Azly Yusof.

Mujahid pula berada di kedudukan keempat disusuli Datuk Mahfuz Omar, Suhaizan Kaiat, Adly Zahari dan Mohamad.

Related posts

Leave a Comment