Trump isytihar darurat di Washington D.C

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengisytiharkan darurat di Washington D.C. menjelang pelantikan rasmi presiden yang dipilih Joe Biden yang dijadual 20 Januari ini, kata kenyataan White House pada Isnin.

“Hari ini, Presiden Donald J Trump mengisytiharkan darurat di Washington (District of Columbia) dan memerintahkan Persekutuan membantu gerak kerja susulan Perasmian Presiden ke-59 dari 11 Januari hingga 24 Januari 2021,” kata kenyataan itu.

Trump memerintahkan bantuan Persekutuan untuk melengkapkan usaha tindak balas daerah kerana keadaan darurat akibat Perasmian Presiden ke-59 dari 11 Januari hingga 24 Januari 2021.

Pengisytiharan itu membolehkan agensi kecemasan seperti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan ‘menyelaraskan usaha bantuan bencana’.

Agensi itu akan diberi kuasa untuk ‘mengenal pasti, menggerakkan, dan menyediakan mengikut budi bicara mereka’ peralatan dan sumber yang difikirkan sesuai.

Datuk Bandar Washington DC Muriel Bowser sebelumnya mengirim surat kepada Trump meminta pengisytiharan darurat yang menunjukkan dana tambahan untuk keselamatan diperlukan ketika pelantikan Biden berikutan serangan minggu lalu di Capitol AS.

Pada Isnin, media melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) memberi amaran protes bersenjata sedang dirancang di semua 50 ibu negara Amerika Syarikat (AS), termasuk bangunan Capitol, menjelang pelantikan rasmi presiden.

Perasmian Joe Biden sebagai Presiden AS akan diadakan di tempat yang sama di Capitol di mana kumpulan pro-Trump yang melakukan rusuhan, bertempur denga polis dan merosakkan harta benda minggu lalu.

Rusuhan itu tercetus selepas Trump mendesak penyokongnya untuk membantah apa yang didakwanya berlaku penipuan dalam pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment