SPRM sita Menara Ilham

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

Notis penyitaan bangunan setinggi 60 tingkat itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan semalam melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.

Ia ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.

Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesahkan mengenai notis sitaan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Bagaimanapun tiada sebarang makluman dinyatakan SPRM mengenai punca bangunan milik keluarga Daim itu disita sebagai harta tak alih pada Isnin lalu mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009.

Susulan notis itu, sebarang urusan mengenai Menara Ilham adalah dilarang.

“Bahawa terdapat harta tak alih – seperti dalam jadual – adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009. Dengan ini, mengeluarkan notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam jadual tersebut; dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.

“Kamu hendaklah serta-merta mencatatkan terma Notis ini pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam daftar di pejabat kamu,” katanya.

Difahamkan, Menara Ilham mempunyai ketinggian 274 meter merangkumi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat aras untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Ia siap dibina pada 2015 juga dikenali sebagai Menara IB, singkatan kepada Ilham Baru.

Related posts

Leave a Comment