Sekolah vernakular, 2 NGO fail kebenaran merayu

KUALA LUMPUR 21 Dis. –  Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

Pertubuhan berkenaan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) memfailkan notis permohonan bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan petang tadi melalui Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil.

Firma guaman itu melalui satu kenyataan memaklumkan, permohonan kebenaran terbabit menamakan Menteri Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, manakala 10 responden lain terdiri NGO termasuk kumpulan pendidik Cina Dong Zong dan Jiao Zong serta MIC dan MCA.

MAPPIM dan GAPENA memfailkan notis permohonan berdasarkan isu perlembagaan dan perundangan berhubung kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh Malaysia, melalui Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan).

Pemfailan notis usul itu perlu dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman.

Peguam kanan, Tuan Haji Haniff Khatri akan terus bertindak sebagai kaunsel utama bagi mewakili MAPPIM dan GAPENA ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Persekutuan kelak, bersama dengan barisan kaunsel yang lain. 5.

Pada 23 November lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Supang Lian bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan, sebulat suara menolak rayuan GAPENA, MAPPIM, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

MAPPIM, GAPENA dan ISMA merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 29 Disember 2021 yang memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Dalam penghakimannya ketika itu, Mohd Nazlan berkata, penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular tidak melanggar Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (hak kesamarataan), Perkara 10 (kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan), Perkara 11 (kebebasan beragama) dan Perkara 12 (hak berkenaan pendidikan) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, terdapat lebih daripada 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara, dengan kira-kira setengah juta pelajar terdiri daripada komposisi kaum yang berbeza.

Dalam pada itu, Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil juga telah diarahkan untuk menegaskan bahawaMAPPIM dan GAPENA menyokong segala usaha peningkatan penguasaan bahasa ketiga.

Sama ada bahasa Mandarin, Tamil, Arab, Kadazan, atau mana-mana sahaja bahasa lain di dunia termasuk Jepun, Korea, dan lain-lain melalui pengajaran dan pembelajaran bahasa-bahasa tersebut sebagai satu mata pelajaran.

“Tetapi mempertikaikan mana mana bahasa asing tersebut daripada dijadikan bahasa pengantar utama di mana mana institusi pendidikan awam yang menerima dana awam, kerana hal tersebut akan bercanggah dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mesti digunakan untuk semua tujuan rasmi.

Justeru, pemfailan Notis Usul ini hendaklah dilihat dari sudut isu keperlembagaan dan perundangan, serta tidak disensasikan sebagai isu perkauman.,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment