1,101 PATI ditahan sekitar Kompleks Kota Raya

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Seramai 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas satu operasi dilakukan di kawasan tumpuan warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin dan Kompleks Kota Raya.

Serbuan melibatkan 1138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman bermula pukul 11 pagi di mana 60 premis di lokasi berkenaan diperiksa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majeed, berkata serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima banyak aduan tentang kebanjiran warga asing serta masalah jenayah di lokasi itu yang rata-ratanya didalangi warga asing

Operasi ini turut melibatkan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Di Raja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Hasil pemeriksaan terhadap 60 premis di kawasan sekitar Kompleks Kota Raya berjaya menahan 1,101 PATI selepas mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, hari ini.

Menerusi serbuan itu juga, beliau berkata polis merampas barangan terdiri 100 karton rokok, 80 karton arak dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian kesihatan (KKM) dengan keseluruhan nilai rampasan RM104,530.

“Operasi bersepadu khas sebegini akan diteruskan pada masa akan datang ke atas beberapa lokasi lain di ibu negara yang diketahui mempunyai isu kebanjiran PATI serta aktiviti jenayah.

“Kita juga alu-alukan maklumat orang ramai tentang kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” katanya.

(Foto polis KL)

Related posts

Leave a Comment