KPMC Haramain sedia perkhidmatan kesihatan di Makkah

KAJANG  19 Dis. –  Pusat perubatan Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) di sini hari ini melancarkan KPMC Haramain Sdn Bhd. yang akan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada jemaah haji dan umrah khususnya dari Malaysia.

KPMC Haramain adalah sebuah syarikat usahasama antara KPMC, DAR iHsan Bhd dan Shaikh Fawaz Basharaheel dari Arab Saudi yang memiliki pusat perubatan terkemuka di Makkah iaitu Hospital Basharaheel.

Kerjasama strategik ini akan membantu memudahkan jemaah khususnya orang kurang upaya, warga emas atau pesakit kronik, asma, jantung dan pesakit yang memerlukan dialisis .

Ia juga menyediakan kemudahan peralatan kesihatan termasuk kerusi roda yang diperlukan jemaah sewaktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA) Sohaimi Shahadan merasmikan majlis pelancaran itu yang turut dihadiri Pengerusi KPMC  Saroni Judi dan CEO KPMC Haramain Datuk Abdul Rahim Abdullah.

Saroni berkata, kehadiran KPMC Haramain di Makkah pada Januari ini akan memberi kemudahan kepada jemaah terutama yang mempunyai jadual dialisis mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang lebih sempurna.

Pada masa yang sama ia juga akan memudahkan urusan bayaran bagi pesakit yang memiliki insurans ketika mendapat rawatan.

Sohaimi dalam ucapannya menyambut baik inisiatif itu yang diumpamakan
membuka ‘ladang’ yang kemudiannya akan memberi peluang pelbagai pihak menyediakan perkhidmatan sokongan yang lain seperti baja, benih dan sebagainya.

Beliau berharap KPMC Haramain menjadi perintis untuk pihak lain merebut peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan bersama.

KPMC Haramain di Makkah bersedia memberi perkhidmatan kepada jemaah umrah Januari ini selepas pelancaran di peringkat Arab Saudi di Jeddah yang dijadualkan pada 8 Januari depan disusuli jemaah haji pada musim akan datang.

Dalam pada itu Abdul Rahim berkata, KPMC Haramain diharap dapat membantu meringankan kos yang ditanggung oleh jemaah umrah dan haji untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan ketika di Makkah.

“ Ia juga akan membantu menjadikan Malaysia antara yang amat disegani dengan cara pengurusan mengendalikan tetamu Allah,” katanya.

Nnn

Majlis pelancaran KPMC Haramain Sdn Bhd di KPMC Kajang.

Related posts

Leave a Comment