Pilihan raya PBT ada impak positif, negatif

ALOR SETAR 19 Dis. –  Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Hasmuni Hassan berkata, pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dilihat sebagai sistem kompleks yang mempunyai impak positif dan negatif jika dilaksanakan.

Justeru, kerajaan perlu menimbangkan secara teliti bagi memastikan keadilan dan keberkesanan dalam pemerintahan tempatan sebelum melaksanakannya di samping

mengelak ada pihak meraih laba atas angin secara mudah.

“Kita bimbang ia akan hanya jadi seperti ‘tikus membaiki labu’, lebih buruk lagi membawa kerugian kepada rakyat jika ada pihak meraih laba atas angin secara mudah,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasmuni berkata,  DAP tentu ada jawapan yang ‘lebih besar’ berbanding alasan demokrasi bagi mewajarkan pilihan raya PBT.

“PBT adalah peringkat paling bawah dan hampir kepada akar umbi dalam sistem pemerintahan negara dan di peringkat daerah, ia amat berkuasa.

Pemegang jawatan penting seperti datuk bandar, yang dipertua PBT dan ahli majlis, mempunyai kuasa terhadap sistem kutipan cukai, cukai pintu dan menggubal undang-undang kecil,”katanya.

Menurut Hasmuni, sebelum 1964, pilihan raya PBT pernah diadakan bagi memilih jawatankuasa di peringkat daerah atau kerajaan tempatan dan ia adalah warisan penjajah British.

“Ketika itu, pegawai tertinggi PBT dan ahli majlis dipilih oleh rakyat. Ia dimansuh selepas 1964 disebabkan mahu mempercepatkan usaha pembangunan di mana proses membangunkan kawasan dapat dilakukan terus melalui Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Itu sudah memadai, letihlah jika ada satu lagi lapisan ‘Little Napoleon’ yang perlu dihadap dengan kerenah birokrasi dan politik PBT pula,” katanya.

Beliau turut mengakui antara kebaikan pilihan raya PBT, ia adalah , proses itu lebih dekat dengan rakyat, fokus kepada isu tempatan, membuka peluang pemimpin setempat dalam kepemimpinan dan dapat meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses berkenaan.

“Namun pada masa sama, ia turut membawa keburukan, antaranya kelemahan pembiayaan, ketidakseragaman pembangunan, kurangnya keupayaan menangani isu kebangsaan, potensi nepotisme dan ronisme serta kurangnya pakatan strategik,” katanya.

Sebelum ini Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras ketika Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, mencadangkan diadakan pilihan raya PBT bagi memperkukuh demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment