WHO ingatkan Thailand pantau vape, e-rokok

BANGKOK: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan Thailand supaya  menguatkuasa undang-undang dan sistem pemantauan terhadap vape dan rokok elektronik (e-rokok) bagi mengelak mudarat akibat ketagihan teruk pada masa depan.

Menurut WHO, e-rokok menyebabkan ketagihan, berbahaya dan tidak selamat, sambil badan dunia itu memetik beberapa bukti saintifik menunjukkan e-rokok mengeluarkan bahan yang diketahui boleh menyebabkan kanser.

Kenyataan WHO ini timbul ketika beberapa parti politik di Thailand bercadang untuk memansuhkan undang-undang berkaitan e-rokok.

Wakil WHO ke Thailand, Dr Jos Vandelaer, mengeluarkan amaran itu beberapa hari selepas kenyataan rasmi WHO menggesa kerajaan seluruh dunia mengambil langkah mencegah penggunaan e-rokok.

Berucap pada forum dihoskan Yayasan Promosi Kesihatan Thailand, beliau memuji keputusan Thailand melarang penggunaan e-rokok, yang beliau dakwa lebih berbahaya daripada apa dijangkakan, di negara itu.

Meskipun vape masih berleluasa di Thailand terutama dalam kalangan golongan muda, beliau yakin negara itu mampu mengambil langkah lebih baik memastikan e-rokok tidak diguna, dijual atau diimport ke Thailand.

Pada masa sama, Vandelaer turut menekankan sokongan penuh terhadap Yayasan Tindakan Merokok dan Kesihatan, sektor awam dan pertubuhan berkaitan dalam usaha mereka untuk meningkatkan kesedaran bahaya e-rokok.

Menurut WHO, e-rokok juga dikaitkan dengan peningkatan risiko gangguan paru-paru, keracunan, kecederaan dan melecur serta kesan toksik nikotin serta-merta melalui sedutan asap oleh perokok.

Bahan-bahan itu juga boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan kardiovaskular dengan meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah.

Penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja boleh memberi kesan kepada perkembangan otak dan membawa kepada gangguan pembelajaran, malah orang sekeliling juga berisiko terdedah bahaya akibat pelepasan e-rokok.

Vandelaer berkata, vape atau penggunaan e-rokok dipercayai tidak berbahaya seperti diyakinkan industri tembakau, tetapi ia sebenarnya bukan sekadar menyedut wap, sebaliknya bahan beracun.

“Jangan terpedaya! Setakat ini tiada bukti komersil e-rokok sebagai produk pengguna mempunyai manfaat kepada kesihatan awam,” tegasnya.

Beliau menegaskan, e-rokok mengakibatkan kebergantungan jangka panjang terhadap nikotin, dan alasan penggunaan e-rokok berupaya membantu orang ramai berhenti merokok bukan idea yang baik.

Kajian terbaru oleh Fakulti Perubatan Hospital Ramathibodi mendedahkan 8.8 peratus kanak-kanak berusia 13 hingga 15 tahun terdedah e-rokok pada 2021 berbanding 3.3 peratus pada 2015.

Untuk rekod, rokok elektronik dilarang di Thailand sejak 2014.

Related posts

Leave a Comment