KUALA LUMPUR 18 Dis. – Cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara akan menyebabkan berlaku monopoli kaum khususnya kaum Cina dalam menguasai kerusi PBT di Kuala Lumpur.
Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, cadangan yang amat berbahaya itu tidak memberi jaminan orang Melayu mendapat kerusi dan suara majoriti bagi memastikan hak dan keistimewaan Islam dan Melayu dipertahankan.
Katanya ini berdasarkan penguasaan DAP di lima dari 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur iaitu Kepong, Seputeh, Cheras, Bukit Bintang dan Segambut.
Empat lagi kawasan campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu kerusi Batu (bukan Melayu) manakala Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak (Melayu) dan Titiwangsa (UMNO).
“Pas tidak bercakap mengenai soal rasis tetapi apakah jaminan bahawa orang Melayu dapat kerusi dan suara majoriti bagi memastikan hak dan keistimewaan Agama Islam dan Bangsa Melayu dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan .
Justeru Pas Wilayah Persekutuan membantah keras cadangan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai yang menggesa pilihan raya PBT di ibu negara dilaksanakan dalam usaha menegakkan demokrasi.
Tan Kok Wai dalam satu kenyataan menyatakan pelaksanaan pilihan raya PBT akan membawa kepada ibu negara yang mampan, mengamalkan tadbir urus berkesan, bersih dan berpaksikan rakyat.
Menurut Azhar, dalam sistem pilihan raya di dalam negara ini, pemilihan wakil Dewan Rakyat bagi memilih Ahli Parlimen telah dilaksanakan semenjak tahun 1955.
Manakala negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan telah ada Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pemilihan wakil bagi DUN dan di Wilayah Persekutuan kesemua 13 Ahli Parlimen sudah memadai sebagai wakil rakyat.
“Tidak cukup demokrasikah bagi Tan Kok Wai dan DAP dengan sistem pilihan raya yang sedia ada sehingga mahu mengadakan pilihanraya PBT pula? Berapa banyak kerusi lagi DAP hendak menang sehingga mahu pula pilihan raya BPT?
Berapa pula kos perbelanjaan bagi menampung pilihanraya PBT jika ia diadakan kelak? Berapa banyak kali rakyat perlu turun dalam pilihan raya dan berpolitik hanya semata-mata memenuhi nafsu DAP?,” tanya beliau.
Beliau berkata, Wilayah Persekutuan mempunyai Menteri yang bertanggungjawab ke atas seluruh jajahan Parlimen di Wilayah Persekutuan manakala Datuk Bandar ketua bagi kerajaan tempatan yang berperanan mengetuai pentadbiran dan pengurusan PBT di Kuala Lumpur, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Justeru, bagi Pas, pelantikan seorang menteri yang bertanggungjawab khusus bagi Wilayah Persekutuan sudah cukup meskipun tidak sebaik seperti sebelum PRU ke 15 dahulu, “ katanya.
Selain itu, penubuhan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) semenjak tahun 2011 bertujuan membantu kecekapan penyampaian perkhidmatan secara berterusan di samping melaksanakan program-program kemasyarakatan dan modal insan di kawasan pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Fungsi MPP ini merupakan salah satu mekanisme penghubung di antara Kerajaan dan komuniti setempat. Fungsi Ahli PBT telahpun dilaksanakan dengan jayanya oleh MPP sejak penubuhannya.
Ahli-ahli Parlimen di WP boleh berperanan aktif dalam menyampaikan suara mereka. Bahkan mereka juga menjadi penasihat kepada MPP di parlimen masing-masing serta menjadi penghubung antara wakil rakyat dengan rakyat,” katanya.
Pas Wilayah Persekutuan menganggap kerajaan perlu melihat jauh ke depan dan menolak cadangan Kok Wai itu yang dilihat sudah tepu, dangkal, sangat tidak relevan dan realistik dengan keadaan semasa.
Nnn
