Covid-19: Tiada cadangan mengulangi PKP

PUTRAJAYA 18 Dis. – Kementerian Kesihatan (KKM) setakat ini tidak bercadang untuk melaksana sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Menteri Kesihatan,  Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM berharap dapat melalui fasa peningkatan jangkitan ketika ini tanpa melalui sekatan termasuk PKP yang dilaksana pada awal pandemik dulu.

“Kita dah tak cakap mengenainya (sekatan) atau akan mengulangi PKP. Sebab banyak yang tanya dan banyak kegusaran di situ,” katanya pada sidang media di KKM di sini petang ini.

Sebanyak 20,696 kes baharu Covid-19 direkodkan sepanjang Minggu Epidemiologi 50 (10 hingga 16 Disember 2023), yang menunjukkan peningkatan sebanyak 8,000 kes berbanding minggu sebelumnya.

Dr Dzulkefly bagaimanapun berkata, dalam menghadapi peningkatan jangkitan ketika ini, KKM sedang melaksana lima langkah dan strategi utama di bawah Pelan Pengurusan Covid-19.

Strategi pertama adalah pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2;
kedua pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), sementara strategi ketiga, pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

“Strategi keempat, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan strategi kelima, pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Malahan fasiliti kesihatan ketika ini sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan pesakit ke hospital.

“Kita sedia termasuk dengan (fasiliti kesihatan) ATM, swasta dan NGO (badan bukan kerajaan),” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment