Ketum Malaysia tak laku, harga jatuh di Thailand

PADANG BESAR 14 Dia. – Harga ketum yang dihasilkan di Malaysia merosot dan tidak laku di Thailand setelah kerajaan negara itu membenarkan penanaman daun ketum untuk tujuan perubatan.

Jika sebelum ini harga daun ketum Malaysia mencecah RM180 bagi satu kilogram (kg), kini merosot sehingga RM30 di negara itu manakala di Perlis, harganya sekitar RM10 bagi sekilogram.

Menurut Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim,  langkah kerajaan Thailand itu dilihat ada kesan positif dalam mengawal kegiatan penyeludupan daun ketum dari negara ini ke Thailand.

Bagaimanapun pada masa sama, kegiatan penyeludupan ketum tempatan beralih kepada pasaran domestik yang mana ia akan diseludup dan diedarkan ke negeri seperti Perlis, Kedah dan sebahagiannya dibawa ke selatan tanah air.

Beliau berkata, tangkapan terhadap sindiket penyeludupan ketum ke Thailand terutamanya dari Perlis menurun lebih 50 peratus namun kegiatan penyeludupan tertumpu kepada  barangan lain seperti petrol dan diesel, beras, gula serta barangan bersubsidi yang lain.

“Pengurangan dari segi tangkapan penyeludupan daun ketum ini juga membolehkan kita menumpukan tugas kepada permasalahan jenayah lain termasuk rentas sempadan serta penyeludupan barangan bersubsidi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Majlis Pelupusan Barang Kes Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di perkarangan Balai Polis Trafik Padang Besar, di sini semalam.

Katanya, walaupun sindiket penyeludupan daun ketum mula beralih kepada pasaran tempatan, pihaknya tetap membanteras kegiatan itu berlipat kali ganda.

“Walaupun daun ketum negara ini sudah hilang nilainya untuk diseludup ke negara jiran kerana ia sudah pun dikomersialkan secara sah di Thailand, tetap mendapat permintaan dalam pasaran tempatan di negara ini,” katanya.

Muhammad turut menyaksikan pelupusan kes membabitkan daun dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM5.748 juta yang dirampas dalam tempoh empat tahun iaitu antara 2018 hingga tahun lalu di Padang Besar.

Related posts

Leave a Comment