Agus beri keterangan di IPD Kajang

KAJANG: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM),  Mohammad Agus Yusoff hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini bagi memberi keterangan.

Agus bagaimanapun enggan memberi sebarang kenyataan kepada media yang menunggu sejak pukul 11 pagi dan dilihat keluar menaiki Toyota Estima berwarna putih pada pukul 1.17 petang selepas lebih dua jam masuk ke IPD tersebut.

Beliau hanya melambai tangan sambil melemparkan senyuman, manakala peguamnya, Zaflee Pakwanteh yang memandu kenderaan tersebut kemudiannya memberitahu tiada kenyataan akan dibuat.

Kehadiran beliau di IPD Kajang hari ini dikatakan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, Oktober lalu.

Pada 1 Disember lalu, media melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan diterima daripada Abdul Wahab yang mendakwa kejadian berlaku pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel.

Susulan itu polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan.

(laporan HM 3/12/2023)

Nnn

Related posts

Leave a Comment