KUALA LUMPUR 8 Dis. – Polis dijangka merakam sekali lagi keterangan ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 dalam masa terdekat.
Malam tadi, polis bertemu semula dengan ibu bapa kanak-kanak itu bagi mendapat sebarang maklumat baharu yang boleh membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid, berkata, keterangan jiran dan saksi juga akan diambil dalam tempoh masa terdekat bagi melengkapkan siasatan.
Polis turut selesai merakam keterangan saksi yang menemui mayat Zayn Rayyan, malam kelmarin.
“Segala maklumat yang diperoleh daripada mereka perlu untuk siasatandan akan lihat keperluan sekiranya akan ambil lagi maklumat-maklumat lain,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau berkata, proses pencarian bahan bukti masih giat dilakukan di lokasi kejadian sejak malam tadi dalam membantu siasatan pembunuhan Zayn Rayyan.
Terdahulu, polis akan akan meneruskan usaha mengumpul bukti-bukti yang ada dalam membantu menjejak pembunuh Zayn Rayyan di sekitar kawasan mayatnya ditemukan.
Mohd Fakhrudin berkata siasatan lanjut di tempat kejadian membabitkan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Kita juga memohon orang ramai terutama penduduk setempat yang mempunyai sebarang maklumat untuk membantu siasatan polis, walau sekecil-kecil maklumat diharap dapat membantu siasatan kita.
“Tumpuan siasatan kita ialah di keseluruhan kawasan perumahan ini yang mengandungi 18 blok apartmen terdiri 2,484 kediaman serta kedai dengan keluasan kawasan kira-kira lapan hektar serta kawasan anak sungai di mana mayat mangsa ditemui,” katanya.
Katanya, selain siasatan di tempat kejadian, polis juga memfokus untuk menganalisis segala keterangan yang dirakam daripada saksi dan maklumat yang diterima untuk mengesan suspek.
