Korban Merapi meningkat 22 orang

JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi pendaki yang hilang akan diteruskan hari ini selepas jumlah kematian akibat letupan gunung berapi Marapi di Indonesia melonjak kepada 22 orang.

Angka korban meningkat daripada 13 orang kepada 22 orang, apabila penyelamat menemui lebih ramai pendaki yang terkorban berhampiran kawah.

Gunung berapi setinggi 2,891 meter (m) di Sumatera Barat meletus Ahad lalu, memuntahkan abu setinggi 3 kilometer (km) ke langit.

Indonesia, yang berada dalam “Lingkaran Api” mempunyai lebih daripada 100 gunung berapi aktif.

Marapi adalah salah satu gunung berapi paling aktif di pulau Sumatera dan kali terakhir meletus pada Januari dan Februari tahun ini.

Sejak 2011, agensi gunung berapi Indonesia dalam surat bulanan menggesa agensi pemuliharaan tempatan dan Kementerian Alam Sekitar untuk menutup kawasan dalam radius tiga kilometer dari puncak kepada pendaki.

Bagaimanapun, badan itu hanya boleh mengeluarkan amaran keselamatan dan terpulang kepada Kementerian Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan untuk menguatkuasakannya.

Agensi pemuliharaan yang berada di bawah kementerian itu berkata, permit mendaki diberikan selepas mendapat lampu hijau daripada beberapa agensi tempatan, termasuk kerajaan wilayah Sumatera Barat, Agensi Bencana Kebangsaan dan Agensi Mencari dan Menyelamat Padang.

Letusan Gunung Marapi pada Ahad lalu adalah yang paling berbahaya sejak 1979 yang membunuh 60 orang.

Letupan gunung berapi jarang berlaku sejak sedekad lalu, menjadikannya sukar untuk dianalisis.

Related posts

Leave a Comment