Hak istimewa Melayu tetap dipertahan

PUTRAJAYA 6 Dis. – Kerajaan Perpaduan tetap mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim

Justeru Perdana Menteri menyifatkan menuduh Kerajaan Perpaduan menyisihkan orang Melayu dan menentang Islam adalah politik dan fitnah menjijikkan.

Beliau turut mengakui, naratif berkenaan terlalu kuat dan menebal, selain kebencian melampau ditanamkan oleh pihak tidak bertanggungjawab di mana kaedah itu disifatkan sebagai ghuluw (melampau) dan ghurur (obses).

Perdana Menteri berkata demikian dalam Wawancara Khas Setahun bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan sikap menanam kebencian melampau itu menyebabkan pergaduhan dan perpecahan di banyak negara.

“Sebab itu saya nyatakan, sementara saya akan izinkan ini jaminan perlembagaan demokrasi, hak kebebasan tetapi sikap sebegini (melampau) tak boleh diteruskan kerana akan memecahbelahkan dan memporak-perandakan negara,” katanya.

Mengenai bahasa Melayu, Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan yang diterajui beliau lebih tegas memperjuangkan perkara berkenaan.

“Soal program (untuk Bumiputera), kalau pun kata Jana Wibawa (Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa) untuk Bumiputera, saya lebih tegas dan tidak benarkan orang khianat Bumiputera tetapi berikan kepada syarikat Cina.

“(Bagaimanapun) kalau tender, biasanya ikut peraturan sama ada Cina, India, Dayak atau Melayu (berpeluang dapat projek), itu soal lain.

“Kemudian amalan sakau-menyakau ini, saya tak peduli sama ada Melayu, Cina atau India, kita perlu ambil tindakan tegas. Justeru, di mana tidak Melayunya?” katanya.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, Perdana Menteri mengakui, terdapat kekurangan yang perlu perbaiki oleh Kerajaan Perpaduan, antaranya kaedah menyampaikan penerangan dan penjelasan berhubung sesuatu isu.

“Namun, isunya tidak semudah itu terutama soal agama. Ada yang menyampaikan, kadang-kadang saya aneh, terutama orang daripada latar belakang agama (mendakwa) parti ini sahaja akan menjamin ke syurga dan yang lain seolah-olah mungkar belaka,” katanya.

Related posts

Leave a Comment