KUALA LUMPUR 3 Dis. – Kemenangan dengan majoriti besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman semalam mengesahkan momentum sokongan menaik kepada Perikatan Nasional (PN) dalam siri PRK yang diadakan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, undi yang diperoleh calon PH-BN sebanyak 27,778 yang mewakili tahap sokongan 30 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding undi yang didapati PH dan BN dalam PRU15 lepas, iaitu masing-masing 8,340 dan 38,535 undi yang mewakili sokongan 41 peratus.
“Dengan kata lain, gabungan PH-BN bukan sahaja gagal meraih sokongan baharu, tetapi terus kehilangan sokongan yang pernah dinikmatinya sebelum ini berdasarkan penurunan ketara yang dicatatkan di Kemaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Takiyuddin juga menyifatkan kemenangan itu juga sebagai referendum penolakan rakyat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) yang diketuainya.
“Adalah jelas bahawa kerajaan Pusat terus gagal mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat hatta selepas satu tahun berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan Dr Samsuri dengan majoriti lebih besar sebanyak 37,220 undi yang mewakili sokongan 70 peratus pengundi juga membuktikan penerimaan terhadap kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu.
Pas yang bersyukur dengan kemenangan itu juga percaya selain faktor kecelaruan pentadbiran, keputusan PRK itu juga merupakan penolakan pengundi terhadap “politik dana peruntukan” serta helah tidak bermaruah Putrajaya menggunakannya untuk memaksa dan membuli Ahli Parlimen pembangkang serta kerajaan negeri yang tidak sehaluan supaya tunduk dan menyokongnya.
Katanya, Pas kekal komited kepada politik matang, bermaruah dan demokratik bukan sahaja dalam peranannya sebagai blok pembangkang di Parlimen, tetapi juga sebagai kerajaan di negeri-negeri yang ditadbirnya atas kepercayaan bahawa ia adalah pendekatan terbaik untuk kepentingan negara dan rakyat.
“Pas juga bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar di peringkat nasional apabila keadaan menghendaki sedemikian susulan kegagalan berterusan Putrajaya untuk memastikan rakyat dan negara terlindung daripada kesan negatif tindak-tanduk kerajaan sendiri mahupun perkembangan yang berlaku di dunia,” katanya,
Pas turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas dan penyokong parti serta, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan agensi-agensi terbabit dalam menjayakan PRK tersebut serta memastikan ia berjalan dengan lancar dan selamat.
