Bukti peralihan sokongan besar-besaran pengundi UMNO

KUALA LUMPUR  3 Dis. – Kemenangan besar calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman semalam membuktikan sokongan padu pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Pembangkang  Hamzah Zainudin.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PN berkata, ia menandakan secara jelas lagi bersuluh bahawa PN adalah wadah utama politik orang Melayu dan hakikat ini yang tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak.

“Majoriti 37,220 undi yang diterima Dr. Sam (Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) – yang menyaksikan lonjakan lebih 10,000 undi juga merupakan bukti jelas bahawa rakyat menolak kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

Keputusan PRK Kemaman ini merupakan suatu tamparan hebat kepada Anwar dan ia adalah hadiah ulang tahun pertama kegagalan pentadbiran PMX,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Pada PRK itu, Dr Sam yang juga Menteri Besar Terengganu menang dengan majoriti 37,220 undi selepas memperoleh 64,998 undi manakala calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memperoleh 27,778 undi.

Mengikut rekod PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas memperoleh 65,714 undi untuk menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi.

Hamzah juga menyifatkan, kemerosotan undi sehingga 10,757 undi yang diterima UMNO dalam PRK ini berbanding PRU-15 lalu, membuktikan berlakunya peralihan sokongan besar-besaran pengundi UMNO kepada PN dan tentunya hal ini ada kaitannya dengan kerjasama UMNO bersama PH.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memilih PN dan seluruh jentera pilihan raya PN yang bertungkus-lumus sejak dari hari pertama kempen.

“Kepada sahabat saya YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar – selamat datang ke Parlimen. Sudah tentu Dr. Sam bakal memberi nilai tambah yang berganda kepada kualiti Perikatan Nasional,” katanya.

Related posts

Leave a Comment