Trend penolakan kerjasama BN-PH

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman adalah rentetan trend penolakan pengundi Barisan Nasional (BN) terhadap kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  Muhyiddin Yassin berkata, Ini adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya UMNO, supaya menilai semula kerjasama mereka dengan PH.

Katanya, keputusan PRK Kemaman ini juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum di mana rakyat khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti ini.

“Buktinya jelas. Undi yang diperolehi oleh calon BN dalam PRK ini jauh lebih rendah berbanding undi yang diperoleh semasa PRU15. Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri telah beralih arah menyokong Pas.

“Kejayaan memperoleh majoriti 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan PRU15 adalah petanda jelas sokongan rakyat yang semakin kuat kepada Pas khususnya dan Perikatan Nasional amnya.

“Semakin kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin turut mengucapkan tahniah kepada Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas kemenangan besar beliau dalam PRK Parlimen Kemaman dan mendoakan beliau dapat memberikan khidmat yang cemerlang kepada penduduk di Kemaman.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua jentera pilihan raya parti-parti komponen PN yang telah bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini dan terima kasih juga kepada semua pengundi di Kemaman yang telah mengundi calon Pas,” katanya.

Related posts

Leave a Comment