Sistem pendigitalan mudah petugas SPR

CHUKAI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari ini sebagai perintis bagi penggunaan sistem pendigitalan petugas.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sistem yang pertama kali diperkenalkan itu bagi memudahkan petugas SPR dalam menguruskan perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, nama sistem itu masih belum dapat didedahkan kepada umum sehingga ia benar-benar berjalan dengan baik.

“Kita ada sistem yang baru ini, jadi insya-Allah kita akan tahu keputusan lebih awal tetapi dari segi undang-undang kena tunggu peti undi sampai ke pusat penjumlahan undi.

“Kita akan umumkan selepas kita dapati sistem terbabit dapat berjalan dengan baik. Sistem ini sebagai ujian, kita akan bagitahu…. sebab ini (sistem) kali pertama kita perkenalkan,

“Ketua Tempat Mengundi (KTM) akan meneliti semua maklumat dalam sistem itu,” katanya ketika meninjau Pusat Pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, di sini, hari ini.

Seramai 141,382 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata sehingga pukul 11 pagi, sebanyak 27 peratus pengundi telah menunaikan tanggung jawab mereka.

“Semua saluran di tempat mengundi kita dapati pengundi menunjukkan semangat keluar mengundi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment