KUALA LUMPUR 30 Nov. – Walaupun ramai ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan pengguguran peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG), Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di peringkat dasar diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara.
Ia merupakan versi ketiga yang dibentangkan di Dewan Rakyat selepas berlaku beberapa pindaan sebelum ini, termasuk menggantikan klausa melarang orang yang lahir selepas tahun 2007 melakukan aktiviti merokok, dengan terma orang belum dewasa (OBD).
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa ketika sesi penggulungan berkata, walaupun GEG digugurkan daripada RUU itu, Kementerian Kesihatan terbuka untuk mengembalikannya pada masa akan datang.
Katanya, pengguguran (klausa) ini merupakan satu keputusan secara kolektif, tanggungjawab bersama Kerajaan, merujuk kepada pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC), ada isu ketidaksamarataan atau diskriminasi kedudukan undang-undang dalam peruntukan GEG, yang beri layanan berbeza seorang lahir sebelum 1 Jan 2007, dan lahir selepas itu.
“Oleh itu AGC berpandangan peruntukan ini boleh dicabar di mahkamah, bercanggah perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Dr. Zaliha berkata, GEG mendapat beberapa pandangan dan ada sedikit pertikaian, tetapi Kementerian Kesihatan akan melihat selepas penguatkuasaan RUU dan akan terus memantau.
“Apa kesan RUU ini terhadap penurunan mungkin prevalens merokok dan sebagainya, insya-Allah jika kita ada keperluan ketika itu, kita boleh bawa kembali tentang isu GEG ini,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian akan terus memberi komitmen untuk penguatkuasaan akta ini sebaik sahaja ia diluluskan.
“Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan masalah rokok dapat dibendung. Saya menyeru ahli Parlimen supaya beri sokongan demi masa depan anak-anak kita, anak kita anak saya, anak semua ahli Parlimen pun anak saya juga.
“Saya berharap semua pihak dapat menerimanya dengan baik dan segala perkara boleh dilihat dari sudut peraturan dan kita ada masa lagi untuk tambah baik RUU ini,” katanya.
