Kenyataan Rafizi cetus kekecohan Dewan Rakyat

 

KUALA LUMPUR 30 Nov. –  Dewan Rakyat kecoh seketika susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, bahawa empat negeri ditadbir pembangkang masih bergantung kepada peruntukan kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek.

Malahan dalam kekecohan itu, Awang Hashim (PN-Pendang) hampir diarah keluar selepas bangkit beberapa kali untuk mencelah.

Selain Awang, turut bangkit untuk mempertikaikan kenyataan Rafizi termasuk Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) dan  Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).

Terdahulu, Rafizi menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai pendirian kerajaan dalam menggalakkan kerjasama rentas negeri termasuk dalam kalangan negeri pembangkang.

“Kalau saya boleh sebutkan, Bachok (Mohd Syahir) jangan marah. Kalau tengok kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri, contohnya Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah, mereka masih bergantung kepada peruntukan kerajaan Persekutuan untuk laksana projek di negeri mereka.

“Saya melihat ia tidak adil kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri lain yang lama tak diberikan peruntukan (oleh kerajaan Persekutuan),” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Jawapan Rafizi itu dibidas keras oleh Shahidan yang menyifatkannya sebagai tidak berasas.

“Nilai tanah di Perlis berlainan dengan Selangor, satu ekar (0.3 hektar) tanah di Perlis harganya RM60,000 (sahaja) Jawapan menteri ini tak berfikiran waras. Kerajaan Persekutuan ini siapa punya? Ia hak bersama,” katanya.

Muhammad Zawawi turut bangkit menyuarakan sokongan terhadap pandangan Shahidan.

Dewan terus hingar-bingar apabila Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mempertahankan jawapan Rafizi dan menyifatkannya sebagai fakta yang harus diterima Arau.

“Itulah faktanya. Terimalah dengan hati terbuka, jangan pula menyanggah. Terimalah hakikat,” katanya.

Kekecohan berlarutan apabila Awang bangkit mencelah beberapa kali sehingga Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, memberi kata dua supaya tidak mengganggu Rafizi menjawab soalan.

“Kalau Pendang bangun sekali lagi, Pendang boleh keluar (dari Dewan),” tegasnya sekali gus memaksa Awang akur sebelum suasana Dewan kembali tenang.

Related posts

Leave a Comment