KUALA LUMPUR 30 Nov. – Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif yang akan dijalankan secara sukarela, bermula dengan tempoh percubaan September tahun depan, setakat ini menerima sambutan baik daripada majikan, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata pihaknya perlu bersedia dengan kemungkinan berlakunya ‘lebihan’ syarikat yang akan menyertai dasar ini, walaupun pemilihannya kini membabitkan 1,000 syarikat.
“Kita akan buka kepada pendaftaran April dan kita sudah bercakap dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), dewan industri dan sebagainya.
“Saya yakin majikan akan menyertai, isunya lebih kepada siapa cepat, dia yang akan dapat…risikonya ialah terlalu banyak hendak menyertai,” katanya pada sidang media, di pusat media Parlimen, hari ini.
Kerajaan katanya akan menyediakan insentif tunai di antara RM200-RM300 mengikut kadar dan kumpulan pekerja bagi syarikat yang menyertai program rintis Dasar Gaji Progresif bermula tengah tahun depan.
Bagi kumpulan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM200 sebulan selama 12 bulan, sekiranya syarikat membayar gaji pada kadar yang sama atau melebihi cadangan panduan kenaikan gaji tahunan.
Katanya, bagi kumpulan pekerja bukan peringkat permulaan, syarikat layak menerima kadar insentif pada nilai tetap sehingga maksimum RM300 sebulan selama 12 bulan.
“Pada tahun pertama pelaksanaan, cadangan had gaji ditetapkan untuk pekerja yang menerima gaji bulanan di bawah RM5,000 dan tidak kurang daripada gaji minimum.
Cadangan ini mengambil kira jumlah pekerja yang menerima gaji bulanan di dalam lingkungan RM1,500 dan RM4,999 merangkumi 66.6 peratus atau seramai empat juta pekerja,” katanya.
Rafizi berkata, kerajaan mengunjurkan dana permulaan antara RM20 juta hingga RM30 juta untuk setiap syarikat yang mengambil bahagian dalam projek rintis itu nanti, selepas mengambil kira perbezaan sektor, jumlah pekerja terbabit, serta kemampuan fiskal semasa.
“Insentif akan disalurkan berasaskan ‘first come, first served’, dengan mekanisme pembayaran akan diperhalusi untuk tidak membebankan syarikat bersaiz kecil, terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Terdahulu beliau membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif dalam usaha memastikan pekerja mendapat gaji lebih tinggi seiring peningkatan produktiviti.
Kertas Putih itu mengandungi tiga mekanisme utama iaitu dilaksanakan secara sukarela, berteraskan insentif dan peruntukan yang disuntik kerajaan dan tanggungjawab pekerja dalam meningkatkan produktiviti.
Dasar itu dijangka memberi manfaat kepada 1.05 juta pekerja, dengan andaian pemberian insentif daripada kerajaan sebanyak RM2 bilion dan pelaksanaan inisiatif itu juga dijangka memberi nilai tambahan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.3 bilion.
Selain itu, beliau menjangkakan tambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM790 juta, dan hasil cukai pendapatan RM1.8 bilion pada tahun pelaksanaan dengan tambahan 37,529 orang pembayar cukai pendapatan baharu pada tahun pertama pelaksanaan.
Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif diperkenalkan untuk mereformasi struktur gaji pekerja Malaysia dan sebagai pelengkap kepada dasar sedia ada, iaitu Dasar Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS).
Dasar ini akan memberi manfaat bukan saja menerusi peningkatan kemahiran pekerja, malahan majikan juga akan memperoleh faedah melalui peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.
“Hasrat utama kerajaan untuk mewujudkan pasaran bakat yang lebih rancak, iaitu memastikan majikan menawarkan gaji berdasarkan penetapan gaji progresif mengikut sektor untuk menarik minat bakat yang diperlukan dalam perniagaan mereka,” katanya.
Menerusi dasar itu, majikan akan dinilai dan diberi penarafan untuk membolehkan syarikat bersaing antara satu sama lain bagi mewujudkan budaya penetapan gaji yang lebih baik dan menarik bakat yang berkualiti.
Katanya, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif bersifat sukarela tanpa undang-undang baharu untuk memastikan ketersediaan dan kemampuan majikan menerima pakai model gaji progresif.
“Ini akan memberi ruang mencukupi kepada syarikat bersiap sedia dan melakukan penyesuaian tanpa tekanan kos yang terlalu besar, terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang membentuk 97 peratus daripada majikan di negara ini.
“Kedua, penyertaan secara sukarela ini akan disokong oleh kerajaan melalui bantuan insentif tunai untuk membantu majikan membiayai sebahagian kos untuk menyertai Dasar Gaji Progresif.
“Insentif ini diberi kepada syarikat yang memenuhi syarat dan kriteria untuk tempoh satu tahun bagi membolehkan syarikat menyesuaikan pelan perniagaan. Pemberian insentif ini akan dikaji setiap tahun berdasarkan kedudukan fiskal kerajaan,” katanya.
Rafizi menjelaskan, model itu mengambil kira isu produktiviti yang mana kenaikan gaji terkait produktiviti yang menekankan kesaksamaan antara majikan dan pekerja, melalui konsep timbal balik peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji.
Konsep ini bertujuan menangani kebimbangan utama pihak majikan, iaitu kenaikan gaji perlu seiring dengan peningkatan tahap kemahiran dan produktiviti pekerja.
“Syarikat yang menyertai Dasar Gaji Progresif perlu menghantar pekerja menghadiri latihan dan peningkatan kemahiran yang diiktiraf kerajaan untuk meningkatkan produktiviti pekerja manakala pekerja perlu mematuhi syarat latihan dan penambahbaikan kemahiran.
“Ia akan diterjemah kepada tenaga kerja yang lebih bermutu dan produktiviti yang lebih tinggi setimpal dengan kenaikan gaji yang diterima,” katanya.
Nnn
