Lima kes baharu jangkitan cacar monyet

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan lima kes baharu jangkitan cacar monyet dalam tempoh 31 Oktober hingga semalam, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan setakat ini sebanyak sembilan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata semua kes baharu tiada hubung kait dengan kes sebelum ini dan mereka yang dijangkiti sedang menjalani isolasi di hospital termasuk disahkan dalam keadaan stabil.

Katanya, individu yang dijangkiti menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul, manakala semua kontak bagi kes yang disahkan sudah dikenal pasti dan status kesihatan mereka juga sedang dipantau.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu kes kelima disahkan pada 10 November lalu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang terbabit dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 29 Oktober lalu.

Kes keenam adalah seorang lelaki warga tempatan berumur 32 tahun yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 7 November dan disahkan pada 12 November lalu.

Pada 12 November, kes ketujuh yang disahkan adalah kontak rapat kepada kes keenam, yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 35 tahun yang menunjukkan gejala lepuh pada 11 November lalu.

Bagi kes kelapan, Dr Muhammad Radzi berkata ia membabitkan seorang lelaki warga tempatan berumur 26 tahun yang mempunyai sejarah penglibatan dalam aktiviti berisiko.

Individu berkenaan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit otot (myalgia), bengkak kelenjar (lymphadenopathy) dan ruam makulopapular sejak 6 November lalu dan disahkan pada 15 November lalu.

Kes kesembilan melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan ruam pada 8 November lalu dan disahkan pada 17 November lalu.

Susulan itu, Dr Muhammad Radzi berkata KKM sentiasa memantau perkembangan terkini dalam dan luar negara berhubung penyakit cacar monyet.

KKM juga bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan terhadap penyakit cacar monyet di negara ini.

Related posts

Leave a Comment