Calon BN ada peranan penghubung kerajaan

KEMAMAN 30 Nov. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan, calon Barisan Nasional (BN),  Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor tidak sekadar menjadi ahli Parlimen biasa sekiranya memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman Sabtu ini.

Perdana Menteri berkata, sesuai dengan kedudukan sebagai orang yang pernah menabur jasa kepada negara, calon BN itu akan diberikan tugas selaku penghubung antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Terengganu.

Justeru, beliau berharap pengundi di Kemaman dapat memberi sokongan dengan mengundi bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

“InshaAllah dengan kedudukan beliau (bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia) seperti yang sebut tadi, saya percaya kalau dia jadi Ahli Parlimen tak akan nak jadi macam ahli Parlimen biasa.

Tentunya, bagi tugas supaya hubungan dengan kerajaan dan Perdana Menteri baik. Jadi, ingat saudara-saudara kita pastikan kemenangan calon BN,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI di Dataran Restoran Cahaya Mesra Geliga, di sini malam tadi.

Anwar berkata kehadirannya ke Kemaman dapat memberikan suntikan kepada calon mereka dan meminta rakyat di Parlimen Kemaman mengangkat seorang yang berjasa kepada negara.

Panglima Angkatan Tentera ini bukan calang-calang orang. Nak naik itu dia lalui pelbagai ujian dan rintangan. Dia kena ada rekod yang sangat cemerlang sebelum diangkat.

“Rekod beliau sebagai Panglima Angkatan Tentera itu rekod yang baik yang tidak ada cacat cela. Sekurang-kurangnya orang Kemaman ingat dan kenang jasa seorang yang menjaga, pertahankan setiap inci bumi bertuah ini,” katanya.

PRK Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.

Sebanyak 141,790 pengundi layak mengundi pada PRK itu susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Related posts

Leave a Comment