TULISAN ini disiarkan pada cuti Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan 1438 bersamaan Isnin 12 Jun 2017. Waktu itu, kehidupan seperti biasa tidak seperti sekarang. Ketika itu Kuala Lumpur sibuk dengan orang ramai membeli belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri. Jika tidak ada urusan penting elakkan memasuki Kuala Lumpur. Tidak pasti suasananya hari ini ketika PKP masih berjalan.
BAGAIMANA CUTI NUZUL AL QURAN TAHUN INI
JANGAN masuk Kuala Lumpur dengan kenderaan sendiri. Guna sahaja pengangkutan awam, sama ada LRT atau komuter. Begitu pesan seorang sahabat semalam. Ada jalan yang ditutup untuk Iftar@ KL 2017 di Dataran Merdeka dan jangkaan kesesakan orang ramai sempena cuti hujung minggu dan Nuzul al-Quran hari ini. Khabarnya beberapa kawasan utama di Kuala Lumpur sesak dengan orang ramai sibuk membeli-belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun kos sara hidup dikatakan meningkat, orang ramai masih mampu melakukan persiapan secara sederhana.
Pakaian baharu akan jadi pilihan sekurang-kurangnya setiap seorang sepasang. Bagi yang berkemampuan sudah tentu berpasang-pasang pakaian. Baru-baru ini terdengar di corong radio satu berita seorang artis mengenai pakaian hari raya. Pada mulanya ingatkan sepasang RM140, rupa-rupanya 140 pasang. Itu rezekinya kerana ada yang menaja.
BPN GANTI BANTUAN KHAS
Menjelang hari raya, kakitangan awam mendapat bantuan khas kewangan RM500. Ada juga negeri yang memberi habuan lebih tinggi, mengikut kemampuan masing-masing. Tidak kira niat di sebalik pembayaran itu, apa yang penting dapat meringankan beban yang ditanggung. Beban kos sara hidup juga cuba dikurang kan dengan pelbagai inisiatif oleh kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bas percuma di beberapa lokasi, diskaun pengangkutan awam terpilih dan pelbagai lagi. Semua itu menunjukkan kerajaan sedar akan kos sara hidup yang tinggi.
Bagaimana pula dengan sikap rakyat dalam berbelanja? Adakah mereka boros? Ramai yang hidup terutama di ibu kota ‘cukup-cukup makan’ antara satu bulan gaji dengan gaji berikutnya. Mereka terpaksa melakukan kerja sampingan, memandu teksi, GrabCar, berniaga di pasar malam dan pelbagai lagi. Dalam erti kata lain, jika mahu hidup seperti orang berada, kena kerja lebih.
PEMBAZIRAN MAKANAN KURANG?
Apa pun, biar alah membeli, menang memakannya. Jangan sampai makanan/minuman berakhir di dalam tong sampah atau longkang. Ketika berpeluang menghadiri majlis berbuka puasa atas undangan pihak-pihak tertentu, ternyata, masih ramai yang mampu berbuka puasa secara ‘mewah’ dengan pelbagai hidangan. Contohnya dengan harga RM80, berapa banyak yang boleh anda makan? Sudah menjadi kebiasaan bagi hotel untuk menyediakan makanan secukupnya dan mungkin berlebihan. Timbul persoalan, ke manakah akhirnya makanan yang tidak habis? Menyelak kembali fakta berkaitan pem baziran makanan, statistik menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia setiap hari ialah kira-kira 3,000 tan metrik yang pada asasnya tidak disentuh. Jumlah itu mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan. Semua jenis makanan ini membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, sisa harian isi rumah.
TAHUN INI TIADA IFTAR DI HOTEL
Belajarlah berbelanja secara berhemah. Membeli dan kemudian memasak sekadar memenuhi keperluan. Sepanjang Ramadan ini, adakah jumlah pengambilan makanan kita berkurangan atau sebaliknya? Setiap orang ada jawapannya. Bagi yang berpeluang menghadiri iftar di hotel sudah tentu dapat merasai bagaimana akan berlaku pembaziran. Di situ ada pelbagai jenis nasi – beriyani, nasi ayam, nasi putih. Lauknya pula ayam, daging, kambing, ikan, udang, ketam dan macam-macam lagi. Ti dak ketinggalan sayur-sayuran dan ulam. Kuih muih, bubur dan sup juga pelbagai di samping sate, mi rebus, sup, asam laksa dan sebagainya. Pencuci mulut juga sama. Air pula – teh tarik, sirap bandung, air batu campur, air tebu, soya dan pelbagai lagi.
Selesai solat Maghrib dan sambung semula, belum tentu habis dijamah satu persatu. Begitulah makmurnya makanan untuk berbuka bagi orang yang ‘berada’.
SALURKAN KEPADA YANG MEMERLUKAN
Alangkah baiknya peruntukan besar orang berada untuk berbuka itu disalurkan bagi membantu mereka yang tidak sempat membeli juadah berbuka, contohnya di jalan raya yang sibuk, stesen LRT, komuter, bas atau pusat membeli belah.
Langkah itu bukan sekadar membantu mereka berbuka tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim. Pengalaman berbuka puasa di Masjidilharam, Masjid Nabawi dan di Jeddah menunjukkan wujudnya semangat persaudaraan itu di samping mengejar pahala berlipat ganda jika memberi makanan ketika berbuka. Di sana, sesudah waktu Asar, ramai yang akan membawa makanan ke dalam masjid atau sekitarnya untuk disedekahkan. Ada kenderaan akan membawa makanan, sekurang-kurangnya biskut dan air untuk diedarkan kepada mereka yang ditemui di atas jalan raya.