KUALA LUMPUR 27 Nov. – Tidak ada keperluan dan kewajaran untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemerhati daripada mana-mana kementerian bagi memantau kecenderungan politik penjawat awam.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang menolak cadangan itu berkata, langkah tersebut juga merugikan sumber semasa perkhidmatan awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, menegaskan setiap penjawat awam kekal profesional menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara tetapi mereka juga mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing.
Dalam satu kenyataan, CUEPACS memberi jaminan kakitangan awam sangat profesional dan sentiasa berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab, selain boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul.
“Sebagai seorang penjawat awam, mereka sudah berikrar untuk menyatakan taat setia sepanjang perkhidmatan kepada kerajaan sedia ada.
“Bagaimanapun dalam konteks demokrasi, penjawat awam berhak mempunyai pandangan mereka sendiri tanpa paksaan termasuk ketika mengundi pada pilihan raya,” katanya.
Beliau mengulas laporan media berhubung cadangan perwakilan PKR Johor supaya Kementerian Pendidikan membentuk jawatankuasa khas bagi memantau guru yang tidak menyokong kerajaan.
Haryati Abu Nasir berkata, ini ekoran terdapat aliaran membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka menunjukkan penentangan terhadap kerajaan.
Mengulas lanjut, Adnan membangkitkan soalan kepada Haryati Abu yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa tersebut.
“CUEPACS ingin bertanya kepada pihak yang melontarkan idea ini adakah pengundi di negara ini hanya penjawat awam sahaja sehingga menjadikan kami sebagai perhatian.
Dahulu pun penjawat awam pernah dilabel mengundi pembangkang sehingga pembangkang itu menjadi kerajaan pada hari ini.
“Apabila sudah menjadi kerajaan sewajarnya pihak yang diberi amanah itu fokus untuk melaksanakan kerja pada rakyat dan bukannya mencari kesalahan penjawat awam. Tidak adil sekiranya keseluruhan penjawat awam disasarkan hanya semata-mata memiliki kecenderungan politik berbeza,” katanya.
