Gencatan senjata empat hari bermula

DOHA: Gencatan senjata perang Israel-Palestin di Gaza selama empat hari akan bermula hari ini dengan pertukaran tebusan dan tahanan akan menyusul beberapa jam kemudian, kata pengantara Qatar.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari memberitahu, perjanjian gencatan senjata yang difasilitasi oleh Qatar dengan bantuan Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sepatutnya berkuat kuasa semalam tetapi ditangguhkan selepas halangan saat akhir.

“Jeda akan bermula pada 7 pagi (0500 GMT) pada Jumaat (1 tengah hari waktu Malaysia)… dan kumpulan pertama tebusan awam akan diserahkan kira-kira jam 4 petang (1400 GMT) (10 malam waktu Malaysia),” kata Ansari.

Pada peringkat permulaan 13 orang akan dibebaskan membabitkan wanita dan kanak-kanak daripada keluarga sama manakala banduan Palestin yang ditahan di penjara Israel juga akan dibebaskan hari ini.

Ansari berkata “langit akan cerah” daripada dron untuk tempoh masa ditetapkan bagi membolehkan pembebasan tebusan berlaku dalam persekitaran selamat.

Israel dan Palestin berperang sejak 7 Oktober, mengumumkan perjanjian pada Rabu membenarkan sekurang-kurangnya 50 tebusan dan puluhan tahanan Palestin dibebaskan ketika gencatan senjata.

“Dalam tempoh empat hari ini, maklumat akan dikumpul mengenai tebusan yang lain untuk mempertimbangkan kemungkinan lebih banyak pembebasan dan dengan itu melanjutkan jeda,” katanya.

Mengulas mengenai jeda, Ansari berkata ia memerlukan “gencatan senjata sepenuhnya… tanpa serangan dari udara atau darat,” sambil menambah beliau berharap “tidak akan ada pelanggaran.”

Perjanjian gencatan senjata akan berkuat kuasa secara berperingkat-peringkat yang boleh dilanjutkan dan diperluaskan. Ia juga bertujuan memberikan bantuan kepada 2.4 juta penduduk Gaza.

Dalam pada itu sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, pada Khamis mengesahkan gencatan senjata akan bermula pada Jumaat, disertai dengan “pemberhentian semua tindakan ketenteraan dari Briged Qassam dan penentangan Palestin” ketika gencatan senjata.

Sepanjang gencatan senjata, ia berkata 50 tebusan membabitkan wanita dan lelaki berumur 18 tahun ke bawah akan dibebaskan, dengan tiga tahanan Palestin akan dibebaskan bagi setiap seorang daripada mereka.

Sementara itu pegawai Israel berkata kira-kira 1,200 orang terbunuh dan kira-kira 240 dijadikan tebusan.

Pengeboman tanpa henti Israel dan pencerobohan darat sejak itu telah meragut lebih 14,000 nyawa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kerajaan Hamas di Semenanjung Gaza.

Related posts

Leave a Comment