PRK Kemaman satu lawan satu

KEMAMAN 18 Nov. – Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan satu lawan satu yang melibatkan calon Pas yang akan mempertahankan kerusi itu dan BN.

Pas akan diwakili Naib Presiden yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar manakala BN diwakili Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Keputusan calon layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, Chukai pagi ini.

Ahmad Samsuri diiringi pencadang, Che Alias Hamid, bekas Ahli Parlimen Kemaman yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan penyokong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi diiringi Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional Negeri Terengganu,  Ahmad Said sebagai pencadang dan bekas Ahli Parlimen Kemaman, DAhmad Shabery Cheek sebagai penyokong.

Ahmad Samsuri menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.04 pagi manakala Raja Mohamed Affandi menyerahkan borang berkenaan pada pukul 9.08 pagi.

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada PRU15.

Pada PRU15, Che Alias menang kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman Terengganu pada 2 Disember ini, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November.

Related posts

Leave a Comment