KUALA LUMPUR 12 Nov. – Media Australia melaporkan, bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar, yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006, dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, semalam.
The Sydney Morning Herarld, melaporkan Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.
Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.
Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian, termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.
Menurut laporan media itu lagi, berita pembebasan Sirul Azhar disahkan anak lelakinya, Shukri Azam, yang kini turut menetap di Australia.
“(Dia kini) ada bersama saya, dan saya sedang uruskan semua perkara bagi pihaknya,” katanya memetik laporan The Sydney Morning Herarld.
Shukri Azam sebelum ini dilaporkan merayu kepada Kerajaan Australia untuk mempertimbangkan semula pemberian suaka politik kepada mereka selepas permohonan pertama ditolak pada 2019.
Shukri Azam Sirul Azhar, 23, berkata dia dan bapanya tidak bercadang untuk pulang ke Malaysia, walaupun hukuman mati mandatori bagi jenayah berat termasuk pembunuhan sudah dimansuhkan.
Akbar The Sydney Morning Herald, melaporkan Shukri Azam, yang berusia enam tahun ketika Altantuya dibunuh mendakwa, dia bimbang nyawa bapanya akan terancam jika mereka pulang semula ke Malaysia.
Shukri Azam dilaporkan dibesarkan oleh ibu bapa angkat di Australia selepas berjauhan dengan ibunya, dan ketika ini menetap di Australia selama hampir 10 tahun.
Altantuya dikatakan terbabit skandal dengan bekas penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang juga sekutu rapat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.
