Tawaran: Bersatu akan lapor polis, SPRM

KUALA LUMPUR 9 Nov. –  Bersatu akan mengemukakan laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung dakwaan tawaran tertentu kepada ahli Parlimen parti itu.

Presidennya,  Muhyiddin Yassin, mendakwa ada ahli Parlimen parti itu ditawar faedah berbentuk kewangan atau peruntukan dan ini melanggar peruntukan seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Laporan polis akan dibuat dalam tempoh sehari dua ini, semua maklumat telah dikumpulkan, contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu ketika mesyuarat Bersatu Kelantan minggu lepas, dia dapat tawaran tetapi menolak semuanya. Tiga hari selepas itu, dia umum keputusan sokong sana (kerajaan).

Justeru, kita syak ada perkara sedang berlaku, yang mungkin melanggar peruntukan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, malam ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, Bersatu juga akan membuat laporan terhadap SPRM berhubung perkara sama kerana kemungkinan ada pegawai SPRM terlibat.

“Kita buat laporan kepada SPRM dan terhadap SPRM. Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada babitkan pegawai SPRM,” katanya.

Beliau turut menggesa Akta Antilompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu, dikaji semula susulan didakwa mempunyai kelompongan ketara.

“Sebagai contoh, dalam kes yang belum diputuskan oleh mahkamah terhadap empat bekas ahli Parlimen Bersatu (Sabah) yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kes itu masih menunggu keputusan mahkamah tetapi di peringkat Speaker Dewan Rakyat memutuskan mereka tidak melanggar (peraturan parti),” katanya.

Muhyiddin merujuk tindakan empat bekas ahli Bersatu iaitu Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) yang bertukar parti pada Januari lalu.

Bersatu turut menyifatkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Muhyiddin mendakwa, Johari orang yang berkepentingan, daripada PKR membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.

Related posts

Leave a Comment