JAKARTA: Menteri Luar Retno Marsudi tampil menyampaikan puisi hasil karyanya mengenai Palestin pada satu perhimpunan di tengah-tengah kota Jakarta semalam dengan kehadiran ratusan ribu umat Indonesia .
Retno yang ucapannya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tular kerana ketegasan mengenai Palestin tampil di pentas Aksi Akbar Aliansi Rakyat Indonesia Bela Palestina, menyampaikan puisi bertajuk Palestin, Saudaraku.
Terdahulu beliau mengulangi sokongan tidak berbelah bahagi kerajaan Indonesia terhadap perjuangan rakyat Palestin sertacmenzahirkan penghargaan atas sumbangan masyarakat setempat kepada misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh pelbagai kumpulan dalam Perikatan Rakyat Indonesia untuk Palestin dimulakan dengan perarakan melalui bandar-bandar dan kemudiannya berhimpun di Tugu Negara di tengah-tengah Dataran Merdeka.
Ratusan ribu hadir pada perhimpunan itu dan kebanyakan peserta memakai pakaian serba putih, membawa sepanduk #FreePalestine, dan mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan slogan bersama-sama, menyeru Israel menghentikan serangannya ke atas Gaza.
Selain Retno, turut hadir Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas, Speaker Dewan Rakyat Puan Maharani, bekas Naib Presiden Jusuf Kalla, dan calon presiden Anies Baswedan.
Retno membaca puisi dengan bait-bait meruntun jiwa, “setiap 10 minit, seorang kanak-kanak meninggal dunia di Gaza, beribu-ribu ibu bapa kehilangan anak-anak mereka”.
Berikut puisi yang ditulis Retno dan dibacakan pada perhimpunan itu.
Hatiku miris, karena bocah itu menangis
Dia terluka, dia tidak bisa berkata, dia tidak tahu di mana bapak ibunya
Setiap 10 menit 1 anak wafat di Gaza
Ribuan orang tua kehilangan anak
Tak terbilang betapa ribu anak kehilangan orang tuanya
Setiap tangan tertulis nama, mereka tidak ingin mati tanpa penanda
Rumah mereka hanya langit
Kasur mereka hanya Bumi
Kapan kekejaman ini akan berhenti?
Kapan keadilan ini akan menghampiri?
Aku dan Indonesia ku pantang mundur akan terus membantu
Aku dan Indonesia ku akan terus bersamamu sampai penjajah itu enyah dari rumahmu
Palestina, kau adalah saudara ku dan aku Indonesia ku akan selalu bersamamu
