Peralihan Singapura menjelang PRU 2024

SINGAPURA 5 Nov. –  Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersedia untuk menyerahkan pucuk kepemimpinan kepada timbalannya Lawrence Wong, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, Lawrene dan pasukan 4G (Generasi Keempat) sudah bersedia dan jika semuanya berjalan lancar beliau akan menyerahkannya menjelang ulang tahun ke-70 Parti Tindakan Rakyat (PAP) tahun depan.

“Lawrence dan pasukan 4G (Generasi Keempat) telah berkhidmat selama bertahun-tahun. Mereka telah memikul tanggungjawab yang besar, dan sedang bersiap sedia untuk mengambilalih kepemimpinan.

“Mereka telah membuktikan kemampuan mereka semasa Covid-19 dan sekarang sedang melakar agenda nasional. Mereka bersama-sama dengan warga Singapura dalam melangkah ke hadapan bersama gerakan Forward SG,” kata Lee.

Lee yang juga adalah Setiausaha Agung PAP berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah dan Konvensyen PAP 2023 di sini, hari ini.

Dalam ucapannya yang turut disiarkan melalui Facebooknya, Lee, 71 yang sebelum ini berhasrat melaksanakan peralihan itu pada hari lahirnya yang ke-70 berkata, Lawrence telah memaklumkan kepadanya bahawa “beliau sudah bersedia.”

“Pasukan 4G juga sudah bersedia. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap Lawrence dan pasukannya. Tidak ada sebab untuk menangguhkan peralihan politik itu nanti,” katanya.

Lee berkata disebabkan Covid-19 beliau tidak dapat melaksanakan peralihan itu pada hari lahirnya yang ke-70 seperti diharapkan.

Pada akhir ucapannya, Lee yang kelihatan sebak dan terhenti seketika berucap menyifatkan suatu penghormatan kepadanya  untuk berkhidmat kepada negara.

Beliau menarik perhatian dengan penglibatan pertamanya dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan kemudian dalam parti dan kerajaan, sebagai Perdana Menteri selama hampir hampir 20 tahun,

Katanya , Singapura dan PAP telah berubah secara menyeluruh, berdepan pelbagai dugaan dan cabaran, tetapi ada beberapa perkara yang kekal tidak pernah berubah.

“Kami masih memakai pakaian serba putih, dan kami masih bersapa satu sama lain sebagai rakan seperjuangan. Kami tetap berdedikasi kepada Singapura, kami masih berasa terpanggil untuk berkhidmat kepada rakyat, kami masih mempunyai kewajipan kepada generasi akan datang untuk memastikan negara ini berkembang maju dan selamat.”

“Perkara ini tidak berubah di bawah pengawasan saya, dan ia juga tidak akan berubah di bawah 4G,” katanya.

Related posts

Leave a Comment