Amaran konflik lebih meluas di Asia Barat

BEIRUT: Pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah muncul di khalayak dengan memberi amaran kemungkinan berlaku konflik lebih meluas di Asia Barat susulan serangan Israel ke atas Palestin.

Nasrallah dalam ucapannya di televisyen, berkata serangan Hizbullah meningkat dari hari ke hari, sehingga memaksa Israel mengekalkan tenteranya berhampiran sempadan Lubnan, bukannya Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

“Apa yang berlaku di sempadan mungkin kelihatan sederhana tetapi sangat penting,” katanya.

Nasrallah turut menyalahkan Amerika Syarikat (AS) dan bertanggungjawab sepenuhnya” atas peperangan di Gaza dan jumlah kematian orang awam yang tinggi sejak konflik tercetus bulan lalu.

“AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perang berterusan ke atas Gaza dan rakyatnya, dan Israel hanyalah alat pelaksanaan,” kata Nasrallah dalam siaran televisyen.

“AS menghalang gencatan senjata dan menamatkan pencerobohan,” katanya.

Nasrallah turut memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyerang Lubnan malah berkata, ‘semua pilihan’ ada di atas meja dan risiko berlakunya konflik terbuka dilihat ‘realistik’.

Ketua Hizbullah itu turut mengucapkan terima kasih kepada kumpulan di Yaman dan Iraq, yang sebahagian daripadanya dikenali sebagai ‘Axis of Resistance’.

Semalam, pemimpin Hizbullah mengesahkan mereka sudah menyerang 19 kedudukan Israel di sepanjang sempadan secara serentak, menandakan kesediaan mereka untuk berperang.

Menurut Hizbullah, pejuangnya menyerang 19 kedudukan tentera Zionis secara serentak dengan peluru berpandu dan artileri pada jam 3.30 petang waktu tempatan (1330 GMT).

Related posts

Leave a Comment