Pamer nama wakil rakyat ‘ponteng’ Parlimen

TANJONG 4 Nov. –  Senarai ahli Parlimen yang dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat,   Johari Abdul.

Beliau berkata, selain untuk makluman pengundi di kawasan, ia  bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan yang diwakili.

Katanya, cadangan itu yang juga antara beberapa penambahbaikan akan dibincangkan oleh beliau dengan jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.

Johari bagaimanapun menjelaskan gejala ponteng sidang Dewan Rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen tidak serius.

“Saya akan bincang perkara ini kerana saya tidak boleh terus berikan arahan. Selepas perbincangan akan putuskan bila akan mula.

“Seeloknya kita mulakan (paparkan nama di laman web) secepat mungkin, mungkin pada persidangan yang akan datang, ini antara penambahbaikkan yang kita akan buat kerana ia akan berikan peluang kepada masyarakat yang memilih mereka bertanya di manakah Ahli Parlimen berkenaan menghilangkan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau faham tugas Ahli Parlimen yang banyak dan ada antara mereka tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana terpaksa menghadiri mesyuarat di lokasi lain dan ada juga yang perlu melaksanakan tugas di luar negara.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang tidak hadir bersebab mereka boleh terus maklumkan kepada Speaker bertugas, sekurang-kurangnya kita tidak akan menganggap mereka ponteng sidang Dewan Rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment