Fahmi minta LI keluarkan nama, logo PKR

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil telah menghubungi Liberal International (LI) untuk meminta supaya nama dan logo PKR dikeluarkan daripada laman web organisasi itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, PKR tidak pernah dan bukan ahli dalam Liberal International dan tidak pernah membayar apa-apa yuran keahlian terhadap organisasi politik liberal berkenaan.

“Nama dan logo PKR perlu diturunkan dalam laman sesawang organisasi politik berkenaan dan itu adalah usaha dilakukan PKR ketika ini.

Jadi pihak parti telah memohon supaya PKR tidak ada apa-apa kaitan langsung dengan Liberal International secara rasmi,” katanya selepas merasmikan Majlis Sumbangan Deepavali di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, hari ini.

Menurut Fahmi, sepanjang penglibatannya dalam pelbagai peranan dalam parti sejak 2013,  tidak pernah ada sebarang perbincangan dalam kongres mengenai keahlian PKR dalam organisasi terbabit.

“Kebiasaannya, apabila sesebuah parti menjadi ahli mana-mana organisasi, mereka akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat agung tahunan, bagaimanapun perkara itu tidak berlaku.

“Walaupun Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menghadiri beberapa acara Liberal International berkenaan atas jemputan, ia tidak bermakna PKR adalah ahli organisasi terbabit.

“Tidak dinafikan bahawa pihak Liberal International pernah datang ke Malaysia sebelum ini dan Presiden PKR pernah menghadiri majlis mereka atas jemputan, malah menerima ucapan tahniah daripada mereka.

“Bagaimanapun, kehadiran berkenaan adalah bukan sebagai ahli dan ia tidak bermakna PKR adalah ahli dalam Liberal International,” katanya.

Liberal International adalah sebuah organisasi parti politik liberal di seluruh dunia yang diasaskan di Oxford pada tahun 1947 dan telah menjadi rangkaian utama bagi parti liberal yang bertujuan untuk mengukuhkan liberalisme di seluruh dunia.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai hantaran oleh beberapa pihak yang mendakwa PKR menjadi ahli dalam organisasi parti politik liberal antarabangsa yang turut dipercayai ada kaitan menyokong Israel.

Related posts

Leave a Comment